Wednesday, 16 November 2016

Catatan Perjalanan Penyucian Jiwa

Kesempatan menjejakkan kaki ke Tanah Suci menjadi detik manis dan pengalaman yang berharga dalam diri saya serta sesiapa saja. Siapa yang tidak mahu menjadi tetamu Allah, beribadat sambil mencari keredhaan  serta kebahagian sejati sudah pasti menjadi suatu nikmat lazat yang dikurniakan Saya ditawarkan untuk mengerjakan umrah secara percuma atas dasar jalinan hubungan yang rapat antara  ayanhnda saya dan pemilik agensi pelancongan Assolihin Travel & Tours. Perjalanan saya tidak ditemani keluarga mahupun sahabat,hanya perjalanan solo yang memberikan pengalaman yang sangat menarik menziarah ke negeri orang.

Tanggal 14 Jun 2013, saya dihantar oleh keluarga ke KLIA, di sana saya berkenalan dengan beberapa keluarga yang turut sama mengikuti rombongan. Sebanyak 23 orang yang mengikuti rombongan tersebut, 4 keluarga dan hanya saya seorang individu tunggal berseorang diri. Dengar macam menyedihkan, tetapi saya lebih teruja berseorang diri kerana bebas ke mana sahaja tanpa rasa terikat dengan orang lain. Saya menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines berlepas dari KLIA pada jam  6.00 petang waktu Malaysia, tiba di lapangan terbang Madinah pada jam 10 malam waktu Saudi. Ketibaan saya di sana disambut dengan mesra oleh mutawif atau tourist guide dari agensi Assolihin. Mutawif tersebut berasal dari Indonesia tetapi sudah lama menetap di Madinah. Katanya sudah 10 tahun menetap di Madinah dari zaman belajar dan terus bekerja di sana. Tidak hairan melihat kecekapannya menguruskan jemaah kami di sana.Di madinah saya dan jemaah lain menetap di hotel Shaza Al-Madina yang lebih kurang 200 meter dari perkarangan Masjid An-Nabawi. Saat melihat kubah hijau masjid An-abawi membuatkan saya melopong teruja.Sebelum ini,hanya melihat di kaca tv, tetapi lebih indah apabila dapat melihat secara live masjid kedua suci bagi umat islam. Tetapi, disebabkan perjalanan jauh yang mengambil masa 10 jam dari Malaysia membuatkan badan terasa layu, saya hanya berehat di hotel menuggu keesokan hari .

Hari ke-2

Kedengaran azan subuh menyebabkan saya terjaga dari tidur, tanpa buang masa, saya mandi dan bersiap untuk solat subuh berjemaah. Dikatakan sembahyang fardhu berjemaah di Masjid An-Nabawi dilipat ganda sebanyak 1000 kali ganda dari solat bersendirian di rumah manakala solat berjemaah di Masjidil Haram di Mekah mendapat 100 000 kali ganda, ini menyebabkan saya nekad untuk tidak tinggal solat berjemaah di Masjid An-Nabawi.Suasana pagi mendamaikan memberikan kesegaran kepada fizikal dan mental. Kajian menunjukkan,bangun seawal pagi sebelum matahari terbit dapat membuatkan fikiran kita menjadi lebih segar dan mampu mengurangkan tekanan dalam diri kita. Fikiran yang segar akan menjadikan kerja-kerja yang di lakukan pada hari tersebut menjadi lebih efisien dan efektif.  Selepas solat subuh berjemaah, saya mengambil kesempatan untuk meninjau seluruh pelosok Masjid-Annabawi, terutamanya melawat makam Nabi Muhammad  , Saidina Abu Bakar, dan Saidina Umar Al-Khatab serta berdoa di kawasan Raudhah iaitu taman-taman syurga yang sangat mudah diperkenankan doa. Kawasan lain adalah seperti suffah iaitu tempat tinggal sahabat Nabi ﷺ yang kurang berkemampuan untuk mencari ilmu pada zaman baginda.Setelah puas menjelajah di dalam masjid,saya keluar di perkarangan masjid untuk melawat perkuburan baqi’ iaitu tanah perkuburan sahabat-sahabat baginda ﷺ .Pada hari ini, saya banyak menghabiskan masa untuk berada di masjid untuk beribadat,

Hari ke-3
Pada hari ke-3 di Madinah, kami para jemaah diiringi mutawif, dibawa menaiki pergi melawat (ziarah luar) disekitar Kota Madinah. Pada awal pagi kami, dibawa ke masjid Quba’ iaitu masjid yang pertama dibina di atasa muka bumi oleh baginda Rasul ﷺ sewaktu tiba di kota Madinah. Saya mengambil kesempatan untuk solat tahiyatul masjid dan solat dhuha di sana. Setelah itu, kami dibawa melawat ke Jabal Uhud iaitu  tempat yang tercetusnya peperangan Uhud antara orang islam dan kafir Quraisy. Di medan Uhud juga terdapat tempat persemadian sahabat-sahabat yang gugur syahid seperti Saidina Hamzah, Abdullah Bin Jahsy dan lain-lain. Setelah selesai bergambar, kami dibawa pulang ke hotel untuk memberi peluang kepada jemaah untuk solat zohor berjemaah.


Hari ke-4
Selepas solat subuh berjemaah dan sarapan pagi, mutawif memaklumkan untuk melawat beberapa tempat  di sekitar kota Madinah antaranya adalah Masjid Qiblatain, kilang Al-Quran dan ladang kurma. Tempat pertama yang dituju adalah masjid Qiblatain iaitu masjid yang mempunyai sejarah yang tersendiri mengenai kisah penukaran arah kiblat dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram semasa baginda Nabi Rasul ﷺ dan para sahabat sedang solat zohor. Saya berpeluang untuk solat Tahiyatul Masjid dan Solat Dhuha di Masjid Qibltain. Setelah itu, kami para jemaah di bawa ke kilang Al-Quran . Kilang mencetak al-quran ini adalah  yang terbesar di dunia. Di sini, saya dapat melihat proses cetakan Al-Quran dan hasil dari lawatan tersebut saya mendapat senaskhah Al-quran secara percuma. Sepanjang perjalanan pulang dari kilang Al-Quran, saya disajikan dengan pemandangan ladang kurma di sebelah kanan dan kiri jalan, mutawif mengambil keputusan untuk singgah di ladang kurma yang juga terdapat pasar kurma.Di sana saya dapat merasai sendiri keenakan kombinasi kurma segar yang manis bersama teh arab panas yang agak kelat menghasilkan rasa kelat-kelat manis yang unik dan sedap. Berpeluang berada di ladang kurma dan harga jualan kurma yang agak murah,saya membeli kurma ajwa untuk dibawa pulang ke Malaysia. Setelah puas melawat hingga ke tengah hari, kami dibawa pulang ke hotel untuk beristirehat dan beribadat di Masjid An-nabawi seperti biasa.

Hari ke 5
Hari ke-5  kami para jemaah akan bertolak ke Mekah,setelah dimaklumkan mutawif untuk berkumpul di lobi pada jam 9.00 pagi, seawal selepas subuh saya ke makam baginda Rasul ﷺ untuk melakukan ziarah wida’. Sayu dan syahdu bersarang di hati tatkala akan meninggalkan baginda Rasul ﷺ yang terasa dekat dalam diri. Insyaallah ada rezeki saya akan menziarah kembali makam nabi, para sahabat, Masjid An-Nabawi yang penuh ketenangan sewaktu beribadat dan bumi bertuah, bumi Madinah yang menempatkan jasad mulia baginda Rasul .Kami diminta bersiap-siap untuk memakai ihram untuk berniat umrah. Setelah singgah di Miqat Bir Ali untuk beniat umrah, kami meneruskan perjalanan ke Kota Mekah. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 7 jam perjalanan disulami dengan talbiah membuatkan saya bersemangat dan berkobar-kobar untuk menjejakkan kaki ke Kota suci Mekkah yang mempunyai Masjidil Haram dan  Kaabah sebagai lambang penyatuan umat islam. Setelah sampai di Mekah lebih kurang jam 5 petang, saya dibawa ke hotel Shahba’ untuk meletakkan bagasi di bilik masing-masing. Selepas itu, saya dan  para jemaah bersama-sama mutawif ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan ibadah umrah pertama. Perasaan sendiri melihat Kaabah di depan mata, tak tegambar dengan kata-kata. Berasa diri amat kerdil dan banyak sekali melakukan dosa, tiba-tiba air mata jantan jatuh di pipi. Segala ego diketepikan walaupun awek arab  bermata biru berada merata-rata.Tanpa membuang masa, saya menunaikan solat tahiyatul masjid dan terus ke mataf  (perkarang kaabah) untuk melakukan tawaf sebanyak 7 kali sambil mengikuti gerak laku mutawif sebagai panduan. Kawasan mataf yang penuh dengan manusia sedikit menyesakkan tetapi berjalan lancer. Selepas tawaf kami para jemaah ke bukit safa untuk memulakan sa’ei. Walaupun kawasan antara safa dan marwah di lengkapi hawa dingin tetapi jarak ulang alik sebanyak 7 kali mencabar fizikal. Jarak sempurna melakukan sa’ei jika di totalkan sejauh 3.15 km. Selepas selesai melakukan ibadat sa’ei ,jemaah akan menggunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut sebagai rukun penutup kepada ibadat umrah. Selesai dari itu,para jemaah bebas dari terikat dengan pantang larang ihram seperti memakai bau-bauan, menggugurkan bulu-bulu di badan dan sebagainya. Setelah sempurna ibadat umrah pertama,kami beriktikaf di Masjidil Haram sementara menuggu solat maghrib seterusya Isyak.

Hari ke 6  
  

Kedengaran azan subuh yang mendayu-dayu dari bilal Masjidil Haram membuatkan saya terjaga sambil menghayati kelunakan suara pak arab. Saya mandi dan bersiap untuk ke Masjidil Haram. Memandangkan jarak antara hotel dan masjid yang lebih kurang 800m, ada perkhidmatan van yang disediakan pihak hotel untuk membawa jemaah ke Masdil Haram setiap waktu solat. Setelah solat subuh berjemaah, saya beriktikaf sementara membanyakkan zikir serta bacaan Al-Quran berhadapan dengan kaabah. Sungguh mengasyikkan suasana pagi di Msjidil Haram. Selepas bersarapan,mutawif memaklumkan akan melawat ke beberapa kawasan di sekitar kota Mekah. Kami para jemaah menaiki bas ke Jabal Thur iaitu sebuah bukit dipuncaknya terdapat sebuah gua  yang merupakan tempat persembunyian Rasulullah  ﷺ dan sahabatnya Abu Bakar Al Siddiq dalam perjalanan ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah. Setelah bergambar hanya di kaki bukit Jabal Thur kami meneruskan lawatan ke Arafah, Muzdalifah, dan Mina. Lawatan ini mengambil masa 3-4 jam sebelum pulang ke hotel untuk persiapan solat Jemaah di Masjidil Haram. Pada sebelah malam saya mengambil kesempatan utuk bersiar-siar di perkarangan Masjidil Haram dan mencuba makanan arab. Saya telah memesan mendy kambing iaitu nasi kambing yang membuatkan air liur  meleleh bila teringakan keenakan kombinasi nasi dan kambing yang lembut dan juicy


Hari ke 7-9 (Aktiviti Bebas)
Seperti biasa selesai solat subuh berjemaah,saya memilih untuk menunaikan umrah sendiri dengan menyewa teksi untuk berniat di Tana’im. Selepas mengerjakan umrah, saya akan beriktikaf sehingga waktu zohor dan pulang untuk berehat. Sebelum masuk waktu Asar saya akan ke Masjidil Haram untuk solat berjemaah. Selepas berjemaah Asar saya akan duduk termangu di tangga mataf untuk merenung Kaabah sambil mata melirik melihat burung-burung dan gelagat pak arab. Saya akan beriktikaf di Masjid sehingga waktu Isyak untuk membaca Al-Quran, solat sunat dan berzikir. Selepas waktu Isyak, saya akan  menejelajah setiap pelusuk Masjidil Haram, melepak di tingkat atas Masjid sambil memandang bulan dan bintang. Setelah itu,saya akan bersiar-siar di kedai-kedai barangan untuk membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Sambil dalam perjalanan pulang ke hotel saya akan mencuba setiap makanan arab seperti shawarma,ais krim arab,laban dan macam-macam lagi yang jarang terdapat di Malaysia.Suasana hari-hari di Mekah sebegini merasakan diri sangat tenang dan bebas apabila berada di negeri orang.

Hari ke 10
Hari ke 10 kami para jemaah di bawa lagi untuk melawat sekitar Kota Mekah, antaranya Jabal Rahmah, Muzium Haramain dan ladang unta. Di Jabal Rahmah terdapat sebuah tugu di atas bukit. Menurut riwayat, sewaktu Nabi Adam AS dan Siti Hawa di turunkan oleh Allah Taala dari syurga, keduanya terpisah lebih dari 100 tahun lamanya dan akhirnya mereka bertemu kembali di Jabal Rahmah ini.Di muzium Haramain pula,saya disajikan dengan pameran kesan-kesan sejarah mengenai pembinaan Masidil Haram, Telaga Zam Zam, Kaabah dan lain-lain. Dan akhir sekali saya  dibawa untuk melawat ladang unta dan dapat merasai hasil tenusu unta segar yang mempunyai banyak khasiat. Setelah puas berselfie bersama unta, kami dibawa pulang ke hotel untuk beristirehat. Pada sebelah malam berada di Masijid, saya nekad untuk mencium Hajarul Aswad. Dari hari pertama saya berada di Masjidil Haram saya ingin dan mencuba tetapi digagalkan oleh kegagahan orang arab Pakistan, Yaman dan Sudan bersaiz besar yang juga bersesak-sesak untuk mencium Hajarul Aswad. Selepas berdoa dan berkat membantu orang  tua yang sesak nafas kerana bersempi-sempit,saya diberikan laluan mudah untuk  sampai ke penjuru kaabah. Akhirnya,saya dapat mencium batu hitam yang sentiasa didambakan umat islam.
.
Hari ke 11
Hari ke 11, merupakan hari terakhir saya di Tanah suci Mekah. Selepas dimaklumkan akan bertolak ke Airport pada jam 12 tengah hari,saya melakukan Tawaf Wida' iaitu tawaf selamat tinggal sebelum bertolak ke Airport Jeddah untuk meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur. Perasaan sebelum meninggalkan Kota Suci Mekah adalah satu perasaan yang sukar diterangkan. Perasaan bersyukur, gembira, sedih, insaf telah bercampur sekali. Saya selamat tiba di KLIA pada jam 3 petang waktu Malaysia.Segala kenangan manis di kota Madinah dan Mekah akan disimpan sebagai memori kenangan terindah seumur hidup.



















No comments:

Post a Comment