Monday, 19 December 2016

Rumusan Artikel Jurnal - Bidang Komunikasi

Komunikasi adalah perkara asas yang dilakukan oleh manusia, tanpa mengira usia, bangsa, latarbelakang, bahasa, budaya dan tempat. Setiap hari kita berkomunikasi secara dalaman atau perseorangan, berinteraksi dengan individu lain atau secara berkelompok. Dalam konteks organisasi, komunikasi   berlaku   dalam   kalangan kumpulan-kumpulan pekerja yang bekerjasama bagi mencapai matlamat tertentu. Komunikasi memainkan peranan penting dalam konteks survival sesebuah organisasi. Dua artikel yang dikenalpasti untuk diulas mempunyai skop atau isu yang sama berkaitan komunikasi organisasi. Fokus perbincangan mengenai jenis komunikasi yang berlaku dalam sesebuah organisasi dengan kepuasan kerja, prestasi kerja dan komitmen kerja.

Tajuk artikel pertama adalah Keberkesanan Komunikasi: Satu Analisis Multidemensi. Penulisnya ialah Che Su Mustafa dari Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden Universiti Utara Malaysia. Artikel yang dihasilkan diterbitkan pada tahun 2004. Jurnal ini membincangkan hubungan antara kepuasan terhadap komunikasi organisasi dan komitmen terhadap organisasi di Malaysia. Data dikumpulkan menggunakan soal selidik Kepuasan Komunikasi yang dibentuk oleh Downs (1990) dan soal selidik Komitmen Organisasi oleh Meyer dan Allen (1990). Sejumlah 317 orang responden terlibat dalam kajian ini

Artikel kedua bertajuk Hubungan Antara Komunikasi Dalam Organisasi Dengan Kepuasan Kerja, Prestasi Kerja Dan Komitmen Kerja. Penulisnya terdiri daripada Sharifah Baharum dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Joki Perdani Sawai, Balan dan Rathakrishnan Balanrathan dari Sekolah Psikologi Dan Kerja Sosial Universiti Malaysia Sabah. Artikel ini membincangkan hubungan komunikasi dalam organisasi (komunikasi ke atas, komunikasi mendatar dan komunikasi ke bawah) dengan kepuasan kerja, prestasi kerja dan komitmen kepada organisasi di kalangan pekerja. Rekabentuk kajian ini adalah berbentuk kajian lapangan. Subjek kajian adalah terdiri daripada 155 orang kakitangan di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam. Alat kajian terdiri daripada empat alat ukuran psikometrik iaitu alat ukuran proses komunikasi, Minnesota Satisfaction Questionaire (MSQ), Organizational Commitment Quetionaire (OCQ), dan soal selidik penilaian prestasi.

Artikel pertama memfokuskan hubungan antara kepuasan komunikasi dan komitmen terhadap organisasi. Kepuasan komunikasi melibatkan jangkaan individu tentang sesuatu hubungan komunikasi. Perkara pertama yang dibincangkan adalah mengaitkan kepuasan komunikasi dengan aspek multidimensi dalam konteks pengurusan sesebuah organisasi. Aspek mutidimensi yang dimaksudkan adalah beberapa dimensi yang akan mempengaruhi kepuasan komunikasi iaitu kualiti maklumat/media, kesepaduan organisasi, komunikasi horizontal, iklim komunikasi, maklum balas peribadi, keperluan untuk berinteraksi dan komunikasi penyeliaan.

Setiap dimensi menunjukkan kepentingan, peranan dan halangan dalam pengurusan sesebuah organisasi terutamanya di Malaysia. Seterusnya penulis membandingkan dimensi yang mempunyai nilai korelasi paling kukuh dengan menggunakan teori sarjana yang membuat kajian mengenai dimensi yang akan mempengaruhi kepuasan kerja.Bagi tujuan untuk mengkaji hubungan komunikasi organisasi dan komitmen terhadap kerja pula, tiga komponen dimensi digunakan dalam kajian iaitu dimensi afektif, dimensi komitmen berterusan dan dimensi komitmen normatif. Komitmen afektif merujuk kepada perapatan emosi kakitangan terhadap, identifikasi dan penglibatan dalam organisasi. Komitmen berterusan merujuk kepada kos apabila kakitangan meninggalkan organisasi. Komitmen normatif menggambarkan perasaan tanggungjawab kakitangan terhadap organisasi iaitu seseorang itu mempunyai komitmen normatif yang kukuh untuk terus bersama-sama dengan organisasi berkenaan kerana mereka merasakan mereka perlu berbuat demikian.

Setelah itu, dalam konteks hubungan antara komunikasi organisasi dan komitmen keorganisasian, analisis korelasi menunjukkan kesemua sembilan dimensi mempunyai korelasi yang signifikan dengan komitmen keorganisasian. Tetapi hasil analisis regresi menunjukkan kepuasan komunikasi menerangkan  tiga dimensi utama yang paling mempengaruhi analisis dalam menerangkan tentang komitmen keorganisasian ialah kualiti maklumat/media, perspektif korporat dan komunikasi penyeliaan. Setelah menerangkan kaitan dan ulasan berkaitan kepuasan komunikasi dan komitmen organisasi menunjukkan kedua-dua pembolehubah ini saling mempengaruhi. Tahap kepuasan komunikasi organisasi mempunyai hubungan dengan tahap komitmen keorganisasian. Sehubungan itu, hipotesis bagi kajian ini ialah terdapat hubungan yang signifikan dan positif antara kepuasan komunikasi dan komitmen keorganisasian

Artikel kedua pula memfokuskan kajian untuk melihat hubungan komunikasi dalam organisasi atau jenis komunikasi iaitu komunikasi ke atas, komunikasi mendatar dan komunikasi ke bawah dengan kepuasan kerja, prestasi kerja dan komitmen kepada organisasi di kalangan pekerja. Untuk mengukur tahap hubungan antara jenis komunikasi dan komitmen organisasi. Pengkaji menggunakan alat ukuran Soal Selidik Komitmen Organisasi (Oganizational Commitment Questionaires). Untuk mengukur tahap kepuasan kerja pula pengkaji menggunakan kaedah Minnesota Satisfaction Quetionaires (MSQ). Manakala untuk menilai prestasi kerja pula pengkaji menggunakan borang  pemeringkatan prestasi kerja yang diadaptasi daripada soal selidik oleh Iran Herman yang disesuaikan oleh Fatimah dan Iran (1997).

Setelah mendapat keputusan statistik infrensi melalui kaedah Ujian-t,Anova Sehala dan Korelasi Pearson mendapati bagi hipotesis pertama, terdapat hubungan yang signifikan  dalam proses komunikasi dengan kepuasan kerja. Ianya merangkumi komunikasi ke atas, mendatar dan ke bawah. Untuk hipotesis kedua pula, tidak terdapat hubungan yang signifikan dalam proses komunikasi dengan prestasi kerja. Ianya merangkumi proses komunikasi ke atas, mendatar dan ke bawah. Untuk hipotesis ketiga pula mendapati komunikasi ke atas tidak mempunyai hubungan yang signifikan ke atas komitmen pekerja. Tetapi komunikasi mendatar dan ke bawah mempunyai hubungan yang signifikan dengan komitmen pekerja kepada organisasinya. Untuk hipotesis keempat mendapati terdapat hubungan yang signifikan di antara kepuasan kerja dengan prestasi kerja dan juga terdapat hubungan yang signifikan di antara kepuasan kerja dengan komitmen kepada organisasi di kalangan pekerja.

Hasil daripada keputusan kajian ini, penulis menggunakan teori dan kajian dari sarjana terdahulu untuk menguatkan lagi hujah mengenai hasil keputusan yang telah diperolehi. Pengkaji bukan hanya menggunakan teori atau kajian terdahulu, huraian yang dibuat menggunakan logik yang sesuai dengan tempat kajian yang dijalankan seperti persijilan ISO 9001:2000. Proses komunikasi iaitu komunikasi ke atas, komunikasi kebawah dan komunikasi mendatar  merupakan sebahagian daripada aspek asas psikologi kerana ia mempunyai hubungan rapat dengan perlakuan individu dalam organisasi. Penting bagi organisasi untuk mengaplikasikan proses komunikasi yang bersesuaian dan menekankan komunikasi yang lebih penting untuk di aplikasikan dalam organisasi

Kedua-dua artikel ini membincangkan hubungan komunikasi dalam organisasi tetapi dari sudut yang berbeza. Perbincangan, metode kajian dan keputusan yang diperolehi juga berbeza. Artikel pertama membincangkan kepuasan komunikasi dan komitmen organisasi melalui pelbagai dimensi. Dimensi yang dibincangkan adalah pemboleh ubah yang terdapat dalam kajian. Pemboleh ubah yang dimaksudkan mempunyai sepuluh dimensi iaitu komunikasi pihak atasan, komunikasi subordinat, perspektif korporat dan lain-lain lagi yang terdapat dalam bahagian perbincangan di atas. Pembolehubah-pemboleh ubah ini yang dikaji dari segi kepentingan dan halangan dalam memberikan kepuasan komunikasi dalam pengurusan sesebuah organisasi. Setiap dimensi akan memberi kesan yang berlainan terhadap perjalanan organisasi. Apabila dimensi-dimensi ini digunakan sebaiknya dan mencapai tahap kepuasan komunikasi yang dikehendaki, ianya akan mempengaruhi hubungan pekerja dengan komitmen keorganisasian. Formula yang ditunjukkan juga mengaitkan dimensi-dimensi yang akan mempengaruhi komitmen keorganisasian. Disebabkan itu, hipotesis yang dihasilkan menunjukkan wujud hubungan yang signifikan dan positif antara kepuasan terhadap komunikasi dan komitmen organisasi.

Artikel kedua pula hanya membincangkan hubungan komunikasi dalam organisasi atau jenis komunikasi iaitu komunikasi ke atas, komunikasi mendatar dan komunikasi ke bawah dengan kepuasan kerja, prestasi kerja dan komitmen kepada organisasi. Kajian yang dilakukan secara berasingan iaitu adakah pembolehubah-pembolehubah tersebut mempengaruhi kepuasan, komitmen dan prestasi kerja. Apabila telah mendapat keputusan, keputusan tersebut akan saling dikaitkan untuk mendapatkan hipotesis mengenai hubungan antara kepuasan, komitmen dan prestasi kerja. Hipotesis menunjukkan tahap kepuasan kerja mempengaruhi prestasi dan komitmen pekerja terhadap organisasi.

Artikel pertama menyentuh soal kepuasan komunikasi, artikel kedua pula membincangkan soal kepuasan kerja. Kedua-dua persoalan ini jika diteliti mempunyai hubungan yang rapat dan boleh digunakan untuk kajian pada masa akan datang, kerana melalui kepuasan komunikasi akan mempengaruhi kepuasan kerja. Dimensi yang digunakan pada artikel pertama seperti komunikasi pihak atasan juga mempunyai persamaan dengan pemboleh ubah proses komunikasi ke atas dengan kepuasan kerja dalam artikel kedua. Hujah yang digunakan kedua-dua artikel dalam lingkungan skop yang sama seperti pihak atasan ingin mendapatkan idea baru dari pihak pekerja. Dimensi yang digunakan dalam artikel pertama boleh dijadikan rujukan dan panduan untuk menambahkan lagi fakta dalam artikel kedua.

Analisis mendapati artikel pertama mengkaji secara mendalam mengenai dimensi yang mempengaruhi kepuasan komunikasi. Permasalahan, halangan dan kepentingan dikemukakan supaya pembaca dapat memahami dengan lebih terpeinci. Penyusunan artikel dari mula sehingga akhir membolehkan pembaca memahami apa yang cuba disampaikan. Artikel kedua pula menerangkan kajian dapatan dari responden mengenai hubungan antara kepuasan, komitmen dan prestasi kerja. Keputusan yang diperoleh membolehkan pembaca mengetahui secara tidak mendalam. Tetapi dalam bahagian perbincangan, penulis menerangkan hujah dan teori-teori dari sarjana untuk menjelaskan permasalahan kajian. Persamaan yang wujud antara kedua dua artikel ini ialah untuk mencari kaedah komunikasi yang terbaik yang perlu digunakan mengikut kesesuaian oleh setiap organisasi. Komunikasi yang berkesan akan memberi kesan yang positif dalam pengurusan sesebuah organisasi.




No comments:

Post a Comment