Komunikasi
adalah perkara asas yang dilakukan oleh manusia, tanpa mengira usia, bangsa,
latarbelakang, bahasa, budaya dan tempat. Setiap hari kita berkomunikasi secara
dalaman atau perseorangan, berinteraksi dengan individu lain atau secara
berkelompok. Dalam konteks organisasi, komunikasi berlaku
dalam kalangan kumpulan-kumpulan
pekerja yang bekerjasama bagi mencapai matlamat tertentu. Komunikasi memainkan
peranan penting dalam konteks survival sesebuah organisasi. Dua artikel yang
dikenalpasti untuk diulas mempunyai skop atau isu yang sama berkaitan
komunikasi organisasi. Fokus perbincangan mengenai jenis komunikasi yang
berlaku dalam sesebuah organisasi dengan kepuasan kerja, prestasi kerja dan
komitmen kerja.
Tajuk artikel
pertama adalah Keberkesanan Komunikasi: Satu Analisis Multidemensi. Penulisnya
ialah Che Su Mustafa dari Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden Universiti Utara
Malaysia. Artikel yang dihasilkan diterbitkan pada tahun 2004. Jurnal ini
membincangkan hubungan antara kepuasan terhadap komunikasi organisasi dan
komitmen terhadap organisasi di Malaysia. Data dikumpulkan menggunakan soal
selidik Kepuasan Komunikasi yang dibentuk oleh Downs (1990) dan soal selidik
Komitmen Organisasi oleh Meyer dan Allen (1990). Sejumlah 317 orang responden
terlibat dalam kajian ini
Artikel
kedua bertajuk Hubungan Antara Komunikasi Dalam Organisasi Dengan Kepuasan
Kerja, Prestasi Kerja Dan Komitmen Kerja. Penulisnya terdiri daripada Sharifah
Baharum dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Joki Perdani Sawai, Balan
dan Rathakrishnan Balanrathan dari Sekolah Psikologi Dan Kerja Sosial
Universiti Malaysia Sabah. Artikel ini membincangkan hubungan komunikasi dalam
organisasi (komunikasi ke atas, komunikasi mendatar dan komunikasi ke bawah)
dengan kepuasan kerja, prestasi kerja dan komitmen kepada organisasi di
kalangan pekerja. Rekabentuk kajian ini adalah berbentuk kajian lapangan. Subjek
kajian adalah terdiri daripada 155 orang kakitangan di salah sebuah Institusi
Pengajian Tinggi Awam. Alat kajian terdiri daripada empat alat ukuran
psikometrik iaitu alat ukuran proses komunikasi, Minnesota Satisfaction
Questionaire (MSQ), Organizational Commitment Quetionaire (OCQ), dan soal
selidik penilaian prestasi.
Artikel
pertama memfokuskan hubungan antara kepuasan komunikasi dan komitmen terhadap
organisasi. Kepuasan komunikasi melibatkan jangkaan individu tentang sesuatu
hubungan komunikasi. Perkara pertama yang dibincangkan adalah mengaitkan
kepuasan komunikasi dengan aspek multidimensi dalam konteks pengurusan sesebuah
organisasi. Aspek mutidimensi yang dimaksudkan adalah beberapa dimensi yang
akan mempengaruhi kepuasan komunikasi iaitu kualiti maklumat/media, kesepaduan
organisasi, komunikasi horizontal, iklim komunikasi, maklum balas peribadi,
keperluan untuk berinteraksi dan komunikasi penyeliaan.
Setiap
dimensi menunjukkan kepentingan, peranan dan halangan dalam pengurusan sesebuah
organisasi terutamanya di Malaysia. Seterusnya penulis membandingkan dimensi yang
mempunyai nilai korelasi paling kukuh dengan menggunakan teori sarjana yang
membuat kajian mengenai dimensi yang akan mempengaruhi kepuasan kerja.Bagi
tujuan untuk mengkaji hubungan komunikasi organisasi dan komitmen terhadap
kerja pula, tiga komponen dimensi digunakan dalam kajian iaitu dimensi afektif,
dimensi komitmen berterusan dan dimensi komitmen normatif. Komitmen afektif
merujuk kepada perapatan emosi kakitangan terhadap, identifikasi dan
penglibatan dalam organisasi. Komitmen berterusan merujuk kepada kos apabila
kakitangan meninggalkan organisasi. Komitmen normatif menggambarkan perasaan
tanggungjawab kakitangan terhadap organisasi iaitu seseorang itu mempunyai
komitmen normatif yang kukuh untuk terus bersama-sama dengan organisasi
berkenaan kerana mereka merasakan mereka perlu berbuat demikian.
Setelah
itu, dalam konteks hubungan antara komunikasi organisasi dan komitmen
keorganisasian, analisis korelasi menunjukkan kesemua sembilan dimensi
mempunyai korelasi yang signifikan dengan komitmen keorganisasian. Tetapi hasil
analisis regresi menunjukkan kepuasan komunikasi menerangkan tiga dimensi utama yang paling mempengaruhi
analisis dalam menerangkan tentang komitmen keorganisasian ialah kualiti
maklumat/media, perspektif korporat dan komunikasi penyeliaan. Setelah
menerangkan kaitan dan ulasan berkaitan kepuasan komunikasi dan komitmen
organisasi menunjukkan kedua-dua pembolehubah ini saling mempengaruhi. Tahap
kepuasan komunikasi organisasi mempunyai hubungan dengan tahap komitmen keorganisasian.
Sehubungan itu, hipotesis bagi kajian ini ialah terdapat hubungan yang
signifikan dan positif antara kepuasan komunikasi dan komitmen keorganisasian
Artikel
kedua pula memfokuskan kajian untuk melihat hubungan komunikasi dalam
organisasi atau jenis komunikasi iaitu komunikasi ke atas, komunikasi mendatar
dan komunikasi ke bawah dengan kepuasan kerja, prestasi kerja dan komitmen
kepada organisasi di kalangan pekerja. Untuk mengukur tahap hubungan antara
jenis komunikasi dan komitmen organisasi. Pengkaji menggunakan alat ukuran Soal
Selidik Komitmen Organisasi (Oganizational Commitment Questionaires). Untuk
mengukur tahap kepuasan kerja pula pengkaji menggunakan kaedah Minnesota
Satisfaction Quetionaires (MSQ). Manakala untuk menilai prestasi kerja pula
pengkaji menggunakan borang pemeringkatan
prestasi kerja yang diadaptasi daripada soal selidik oleh Iran Herman yang
disesuaikan oleh Fatimah dan Iran (1997).
Setelah
mendapat keputusan statistik infrensi melalui kaedah Ujian-t,Anova Sehala dan
Korelasi Pearson mendapati bagi hipotesis pertama, terdapat hubungan yang
signifikan dalam proses komunikasi dengan
kepuasan kerja. Ianya merangkumi komunikasi ke atas, mendatar dan ke bawah. Untuk
hipotesis kedua pula, tidak terdapat hubungan yang signifikan dalam proses
komunikasi dengan prestasi kerja. Ianya merangkumi proses komunikasi ke atas, mendatar
dan ke bawah. Untuk hipotesis ketiga pula mendapati komunikasi ke atas tidak
mempunyai hubungan yang signifikan ke atas komitmen pekerja. Tetapi komunikasi
mendatar dan ke bawah mempunyai hubungan yang signifikan dengan komitmen
pekerja kepada organisasinya. Untuk hipotesis keempat mendapati terdapat
hubungan yang signifikan di antara kepuasan kerja dengan prestasi kerja dan juga
terdapat hubungan yang signifikan di antara kepuasan kerja dengan komitmen
kepada organisasi di kalangan pekerja.
Hasil
daripada keputusan kajian ini, penulis menggunakan teori dan kajian dari
sarjana terdahulu untuk menguatkan lagi hujah mengenai hasil keputusan yang
telah diperolehi. Pengkaji bukan hanya menggunakan teori atau kajian terdahulu,
huraian yang dibuat menggunakan logik yang sesuai dengan tempat kajian yang
dijalankan seperti persijilan ISO 9001:2000. Proses komunikasi iaitu komunikasi
ke atas, komunikasi kebawah dan komunikasi mendatar merupakan sebahagian daripada aspek asas
psikologi kerana ia mempunyai hubungan rapat dengan perlakuan individu dalam
organisasi. Penting bagi organisasi untuk mengaplikasikan proses komunikasi
yang bersesuaian dan menekankan komunikasi yang lebih penting untuk di
aplikasikan dalam organisasi
Kedua-dua
artikel ini membincangkan hubungan komunikasi dalam organisasi tetapi dari
sudut yang berbeza. Perbincangan, metode kajian dan keputusan yang diperolehi
juga berbeza. Artikel pertama membincangkan kepuasan komunikasi dan komitmen
organisasi melalui pelbagai dimensi. Dimensi yang dibincangkan adalah pemboleh
ubah yang terdapat dalam kajian. Pemboleh ubah yang dimaksudkan mempunyai
sepuluh dimensi iaitu komunikasi pihak atasan, komunikasi subordinat,
perspektif korporat dan lain-lain lagi yang terdapat dalam bahagian perbincangan
di atas. Pembolehubah-pemboleh ubah ini yang dikaji dari segi kepentingan dan
halangan dalam memberikan kepuasan komunikasi dalam pengurusan sesebuah
organisasi. Setiap dimensi akan memberi kesan yang berlainan terhadap
perjalanan organisasi. Apabila dimensi-dimensi ini digunakan sebaiknya dan
mencapai tahap kepuasan komunikasi yang dikehendaki, ianya akan mempengaruhi
hubungan pekerja dengan komitmen keorganisasian. Formula yang ditunjukkan juga
mengaitkan dimensi-dimensi yang akan mempengaruhi komitmen keorganisasian. Disebabkan
itu, hipotesis yang dihasilkan menunjukkan wujud hubungan yang signifikan dan
positif antara kepuasan terhadap komunikasi dan komitmen organisasi.
Artikel
kedua pula hanya membincangkan hubungan komunikasi dalam organisasi atau jenis
komunikasi iaitu komunikasi ke atas, komunikasi mendatar dan komunikasi ke
bawah dengan kepuasan kerja, prestasi kerja dan komitmen kepada organisasi. Kajian
yang dilakukan secara berasingan iaitu adakah pembolehubah-pembolehubah
tersebut mempengaruhi kepuasan, komitmen dan prestasi kerja. Apabila telah
mendapat keputusan, keputusan tersebut akan saling dikaitkan untuk mendapatkan
hipotesis mengenai hubungan antara kepuasan, komitmen dan prestasi kerja. Hipotesis
menunjukkan tahap kepuasan kerja mempengaruhi prestasi dan komitmen pekerja
terhadap organisasi.
Artikel
pertama menyentuh soal kepuasan komunikasi, artikel kedua pula membincangkan
soal kepuasan kerja. Kedua-dua persoalan ini jika diteliti mempunyai hubungan
yang rapat dan boleh digunakan untuk kajian pada masa akan datang, kerana
melalui kepuasan komunikasi akan mempengaruhi kepuasan kerja. Dimensi yang
digunakan pada artikel pertama seperti komunikasi pihak atasan juga mempunyai
persamaan dengan pemboleh ubah proses komunikasi ke atas dengan kepuasan kerja
dalam artikel kedua. Hujah yang digunakan kedua-dua artikel dalam lingkungan
skop yang sama seperti pihak atasan ingin mendapatkan idea baru dari pihak
pekerja. Dimensi yang digunakan dalam artikel pertama boleh dijadikan rujukan
dan panduan untuk menambahkan lagi fakta dalam artikel kedua.
Analisis
mendapati artikel pertama mengkaji secara mendalam mengenai dimensi yang
mempengaruhi kepuasan komunikasi. Permasalahan, halangan dan kepentingan
dikemukakan supaya pembaca dapat memahami dengan lebih terpeinci. Penyusunan
artikel dari mula sehingga akhir membolehkan pembaca memahami apa yang cuba
disampaikan. Artikel kedua pula menerangkan kajian dapatan dari responden mengenai
hubungan antara kepuasan, komitmen dan prestasi kerja. Keputusan yang diperoleh
membolehkan pembaca mengetahui secara tidak mendalam. Tetapi dalam bahagian
perbincangan, penulis menerangkan hujah dan teori-teori dari sarjana untuk
menjelaskan permasalahan kajian. Persamaan yang wujud antara kedua dua artikel
ini ialah untuk mencari kaedah komunikasi yang terbaik yang perlu digunakan
mengikut kesesuaian oleh setiap organisasi. Komunikasi yang berkesan akan
memberi kesan yang positif dalam pengurusan sesebuah organisasi.












